28 August 2009

UJIAN RAMADHAN...

Assalamualaikum dan salam sejahtera… Alhamdulillah masih lagi kita dapat menikmati rezki yang Allah berikan beserta nikmat-nikmat Allah yang lain… pejam celik pejam celik da hampir seminggu kita berpuasa…. Sekejap betul masa berlalu… dalam pada kita berpuasa di Bulan Ramadhan, kita juga perlu tingkatkan ibadah-ibadah yang lain sama ada sunat ataupun fardu…

Tak kurang juga yang diuji oleh Allah ketika berpuasa, sama ada ujian sakit, kematian, bala bencana dan sebagainya… setiap individu pastilah berbeza ujian dan dugaan yang dilalui…. Sesuai dengan kemampuan iman mereka… semua ujian ini adalah kehendak Allah SWT untuk melihat kemampuan hamba-hambaNya mempertahankan iman masing-masing…. Juga Allah nak lihat pengorbanan kita dalam menempuh hidup yang sementara ini…

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya… demikianlah apa yang mampu diucapkan jika kita melihat saudara-saudara kita yang lain diuji dengan pelbagai ujian yang belum pernah kita hadapi dalam hidup… ujian sakit umpamanya sudah menjadi lumrah manusia.. hanya jenis penyakit yang dihadapi sahaja yang berlainan… dari tahap biasa hinggalah ke tahap yang kritikal…

Pastilah semua ujian sakit tersebut sebagai satu kafarah kepada mereka yang menghadapinya… dan lagi satu ia menunjukkan kecintaan Allah kepada hamba-hambaNya…

21 August 2009

PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN

Alhamdulillah, seluruh masyarakat Islam di Malaysia telah pun mengetahui bahawa pada 22 Ogos 2009 (Sabtu) merupakan tarikh rasmi bermulanya puasa Ramadhan. Ia sebagaimana biasa yang telah diisytiharkan oleh YM Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Walaupun kita semua telah mengetahui dengan lebih awal dengan merujuk kepada kalendar masing-masing, namun kita tetap menunggu pengumuman tarikh rasmi tersebut... yang bestnyer semua duk berkumpul sekali... budak-budak yang tak tahu apa yang diumumkan pun join sekali... Alhamdulillah... bagus untuk eratkan silaturrahim sesama kita...

Pastinya ada dikalangan kita cukup merasa gembira dengan kedatangan Ramadhan pada kali ini, apa tidaknya kita masih diberi rezeki oleh Allah untuk bersama-sama umat Islam yang lain menjalankan ibadah yang wajib ini... juga merupakan salah satu rukun Islam yang wajib bagi setiap umat Islam menunaikannya dengan syarat-syarat tertentu... berdosa jika sengaja meninggalkan ibadah ini...

Adakah anda semua telah bersedia menghadapi bulan Ramadhan pada kali ini... apakah persediaan anda tersebut... bulan Ramadhan bukan semata-mata kita berpuasa di siang harinya... malah banyak perkara-perkara lain yang juga perlu kita ambil kira... terutama persediaan dari segi fizikal dan mental...

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah satu medan ujian kepada kita selaku Hamba-Nya... bagaimana kita dapat mengawal tingkah laku kita...bagaimana kita dapat mengawal pancaindera kita.... tubuh badan kita... emosi kita...

Tentu sekali nafsu kita akan menjadi lemah bila mana kita berlapar... kerana keinginan untuk membuat sesuatu akan terbatas dek kerana lemahnya fizikal kita... sebab itulah salah satu cara untuk melawan nafsu kita adalah dengan cara berpuasa... berpuasa dengan erti kata yang sebenar-benarnya, bukan puasa yang yuk... puasa tipu-tipu... please laa, korang da besar panjang... puasa pun x dapat nak buat dengan bersungguh-sungguh... kepada yang berpuasa sekadar nak tunjuk-tunjuk kat orang, maka cepat-cepatlah anda beristighfar kepada Allah, betulkan niat.... minta doa diberi kekuatan untuk berpuasa sebagaimana Nabi SAW puasa...

Dalam bulan puasa ini juga, kita selaku hamba-Nya banyak diberi keistimewaan... terutama dalam mengamalkan ibdat-ibadat fardu dan sunat... Jika kita membuat amalan Fardu, maka pahalanya akan digandakan sehingga 70kali pahala... manakala ibadat sunat akan diganjarkan pahala fardu... Masyallah, Maha Pemurahnya Allah... lebih-lebih lagilah sekiranya kita berada di Jalan Allah menegakkan usaha dakwah....

Sempena bulan Ramadhan ini, maka kita perbanyakkan amalan seperti zikir, selawat, membaca al-Quran, solat Tarawih dan solat-solat sunat yang lain, sedekah, beriktikaf di masjid, menyediakan makanan untuk orang berbuka dan bersahur, bantu anak-anak yatim, menderma dan sebagainya... kita buat mengikut kemampuan masing-masing... jangan kita biarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa ada apa-apa amalan pun yang kita buat... jika boleh tidurpun kita kurangkan... kuatkan diri kita... Allah begitu Pemurah untuk memberikan pahala kepada hamba-hamba-Nya yang beribadat pada bulan Ramadan...

Sekian untuk perkongsian bersama... kita minta doa diberi kekuatan untuk beramal kerana Allah... kita amal dan sampaikan...

19 August 2009

TUJUH GOLONGAN MANUSIA KETIKA DI ALAM KUBUR

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya adalah menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang alim (ahli ibadah) untuk menyatakan kekesalannya dan ingin bertaubat kepada Allah SWT.

Dia berkata : “Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat tujuh (7) perkara ganjil yang menimpa ke atas mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.”

“Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi apabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu wahai tuan guru.” Tanya pemuda itu.

Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah SWT semasa hidupnya. Lantaran Allah SWT menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari menghadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, “Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok sewaktu dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi khinzir. Mengapa begitu halnya, tuan guru.”

Jawab ahli ibadah tersebut, “Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solah merupakan amalan pertama sekali yang akan dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnlah amalan-amalan kita yang lain.”

Pemuda itu menyambung lagi, Wahai tuan guru, golongan ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”

“Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.

“Golongan keempat, kulihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadat itu, “Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai kedua ibu bapanya.”

Ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya,” Sambung pemuda tersebut.

Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka selalu memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari.”

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi tiga hari bukanlah termasuk dalam umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.

Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya.”

Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya,” Jawab ahli ibadah tersebut.

Wahai guru, golongan terakhir yang aku lihat , mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?” Tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, “Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan disisi Allah SWT baik sewaktu hidupnya mahupun sesudah matinya.”

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah SWT kita datang dan kepada-Nya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, walaupun amalan sebesar zarah.

---------------------------------------
Entry ini saya ambil dari kiriman emel yang saya terima… Kita ambil iktibar dan pengajaran untuk kita sentiasa beringat akan kematian kita kelak… semoga Allah tempatkan kita dikalangan golongan-golongan yang soleh dan solehah…

SALAM RAMADHAN...


Assalamualaikum… Ahlan wa sahlan… semoga anda semua berada dalam keberkatan dan redha ILahi… Alhamdulillah, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan yang begitu memberi sejuta erti kepada umat manusia… iaitu Bulan Ramadhan… bulan yang dikhususkan kepada umat Islam….

Berkat umur yang dianugerahkan oleh Allah ini, maka kita masih diberi peluang untuk memanfaatkan segala ibadah-ibadah sepanjang bulan puasa kelak… mudah-mudahan Allah memberi kita kekuatan untuk beramal sepanjang Ramadhan ini…

Salam Ramadhan dari saya untuk anda semua pembaca blog Muqaddimah… mohon ampun dan maaf dari segala kesilapan yang tidak disengajakan… terima kasih kerana kesudian anda melawat dan membaca blog Muqaddimah… teruskan melayarinya…

10 August 2009

MANUSIA BERHADAPAN DENGAN ENAM PERSIMPANGAN

Abu Bakar r.a. berkata, "Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh menagajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya..."

Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilang darinya nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya. Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilang dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan."

Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.

05 August 2009

ADAB DENGAN IBU BAPA

Maksud Firman Allah dalam surat Al-Israa’ ayat 23 :

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.

Diantara adab anak terhadap ibu bapa ialah :-

1. Bercakap dengan lemah lembut lagi mulia (nada suara lebih rendah dari ibu bapa).

2. Jangan meninggikan suara (marah) kepada keduanya.

3. Hendaklah mendoakan keduanya dengan keampunan pada setiap lepas solat (sama ada masih hidup atau yang telah meninggal dunia).

4. Mengucup diantara dua mata ibu.

5. Mengucup kedua kaki ibu.

6. Cium belakang tapak tangan bapa.

7. Jangan picit (tutup) hidung kita pada masa mengangkat akan keduanya kerana hendak buang air kecil atau besar pada masa sakitnya.

8. Jangan memotong(pintas) cakap keduanya.

9. Jangan lebihkan isteri daripada keduanya.

10. Jangan menyakitkan hati (menyinggung perasaan) keduanya.

11. Memelihara keduanya ketika tua dan uzurnya (makan, pakaian, kesihatan, tempat tinggal, persekitaran).

12. Menghajikan keduanya setelah matinya (jika belum berhaji)

13. Membayar hutang jika keduanya tidak mampu.

14. Membayar fidyah puasanya.

15. Menjaga maruah (nama baik) keduanya.

16. Dahulukan seruan ibu dari ayah jika seruan dilakukan serentak.

17. Menjaga dan meneruskan persahabatan dengan kawan-kawan bapa.

18. Sentiasa menghubungi (ziarah) keduanya (jika masih hidup).

19. Jangan menyusahkan keduanya (kerja buat seperti orang gaji).

20. Mengambil perhatian setiap ucapannya dan lakukan setiap arahannya selagi tidak bertentangan dengan agama.

21. Bersihkan najis dan ambilkan wuduk untuk solatnya ketika keduanya uzur.

22. Jangan menghina keduanya kerana miskin atau rupa parasnya tidak cantik.

23. Orang yang derhaka kepada ibu bapanya, jauh daripada syurga lebih daripada lima ratus tahun perjalanan dengan sebab itu terdindinglah ia daripada memasuki syurga melainkan dengan izin-Nya dan redha keduanya kepada kita.

24. Doa kedua ibu bapa.

اللّهمّ اغفرلى ولوالديّ وارحمهما كما ربّياني صغيرا

Ertinya :-
“Ya Allah ampunilah dosaku dan kedua ibu bapaku dan kasihanilah keduanya sepertimana mereka mengasihaniku semasa kecil.”