30 May 2008

Keistimewaan Adi Putra


Adi Putra Abdul Ghani berusia genap sembilan tahun hari ini. SAYA pertama kali bertemu Adi Putra pada November 2005 di rumah datuknya di Tanjung Malim, Perak. Dalam pertemuan itu, Adi Putra telah menyelesaikan masalah darab matematik sepantas empat saat, sedangkan saya baru separuh jalan menekan punat nombor kalkulator. Adi baru berusia enam tahun ketika itu. Saya juga terkejut dengan kepantasan Adi Putra mencongak, beberapa kiraan pendaraban yang lain seperti ribu dengan ribu, pengiraan isi padu silinder, pecahan dan perpuluhan di atas. Dalam diam, saya mengagumi kepintaran Adi Putra dan sekali sekala berasa diri saya kerdil di hadapannya.




Dua tahun kemudian, minggu ini, saya teruja lagi dengan pemilik wajah comel ini - Adi Putra dikatakan memiliki kelebihan lain selain matematik iaitu apa yang dipanggil deria keenam atau gerak hati. Ahad lepas, Adi Putra berkunjung ke rumah keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang di Taman Medan, Petaling Jaya, sejak 9 Januari lalu. Menurut Adi Putra, beliau sedang cuba mencari Sharlinie menggunakan 'caranya'. Ketika lawatannya, Adi Putra turut memberikan formula berbentuk pil bagi menenangkan perasaan ibu dan bapa Sharlinie selain pergi ke padang tempat Sharlinie dilihat sebelum kehilangannya. Kemudian, Adi Putra membawa sekumpulan anggota polis ke Ulu Yam, Gombak selepas mendapat petunjuk Sharlinie pernah berada di situ. Walaupun, kecewa kerana hanya mendapat jejak kosong, penemuan satu tulisan bertulis 'media' di atas tanah memang mengejutkan. Ia dikatakan ditulis oleh penculik terbabit yang marahkan pihak media.




Menurut bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid, 49, sebenarnya ini bukanlah bantuan pertama yang diberikan oleh Adi Putra berkaitan orang hilang. "Pernah sekali seorang kanak-kanak dipercayai lemas sudah 18 hari tidak ditemui. Keluarganya datang pun untuk minta tolong kalau-kalau boleh diberi petunjuk walaupun hanya untuk dapatkan tulang anaknya. "Kami turun sendiri ke kampung mangsa untuk mencari. Bayangkan kami mencari di sebatang sungai dari tengah malam sampai pukul 5 pagi. Kemudian Adi Putra ajak balik. Sekitar pukul 7 pagi, keluarga mangsa telefon memberitahu mereka sudah menemui mayatnya dan ia masih dalam keadaan baik," cerita Abdul Ghani. Akui beliau, Adi Putra tidak mahu menemui mayat mangsa secara terus kerana tidak suka mendabik dada. "Adi Putra usahakan dan biarkan orang lain yang temui, jadi orang tidak terlalu mengaitkannya dengan Adi Putra," katanya. Dan Khamis lalu, saya berpeluang berbual santai dengan Adi Putra untuk menyelami kepintaran matematiknya dan bagaimana anak kecil ini melihat dunia. Saya juga ingin memahami sisi lain seorang Adi Putra. Saya dibenarkan menemu bual Adi Putra secara bersendirian tanpa ditemani ibu bapanya - sesuatu yang jarang diperoleh media lain. "KASIH ibu. Serihana Elias dan suami terus mencari formula terbaik untuk membesarkan anak genius mereka."




Sepanjang temu bual itu, sambil mulutnya semakin lancar menjawab soalan saya (berbanding dua tahun lalu dia lebih pendiam), tangannya juga pantas menekan punat permainan video. Dan sebelum saya pulang, Adi Putra sempat berpesan: "Untuk abang, Adi nasihatkan baca Alam Nasyrah (surah al-Insyirah) setiap hari." Saya tanya kenapa surah itu? Jawab Adi: "Untuk rezeki abang." Dan untuk kesekian kalinya, saya melihat keistimewaan Adi Putra dan ia sukar diterangkan. Selebihnya, Adi Putra seperti kanak-kanak sebayanya - makan KFC, gemar menonton siri kartun Naruto, menunggang motosikal mini dan meminati penyanyi Adam AF2.


EKSTRA!: Dari mana Adi Putra dapat ilham mencipta Sajak Akulah Adi Putra, Anak Merdeka? ADI PUTRA: Maksudnya, masa Adi buat apa ya? Adi dapat sebelum tidur. Dalam pukul 3 atau 4 pagi.




Macam mana boleh terfikir? Tak tahu, tiba-tiba terlintas dalam fikiran. Adi karang dan ambil masa dua hari. Dalam sajak itu Adi mengajak bangsa kita bangunkan negara dengan bertemankan surah Yasin dan matematik.


Kenapa surah Yasin dan matematik? Sebab matematik itu tunjang ilmu dan Yasin pula untuk penerang hati. Adi baru berusia sembilan tahun tapi ada banyak maklumat yang Adi tahu selain matematik. Dari mana Adi tahu semua itu? Adi membaca buku atau ada orang yang ajar? Ilham. Datang tiba-tiba. Dan ia muncul tengah malam atau awal pagi. Contohnya, Adi fikir-fikir tentang benda tu, tiba-tiba ia datang. Apa yang Adi hajat, ia sampai dalam beberapa saat atau minit. Bukan datang dari mimpi. Adi tidak ke sekolah sekarang. Apa yang Adi buat setiap hari? Pagi-pagi lepas mandi, Adi biasanya suka main permainan video. Petang ada kelas tahfiz dan bahasa Inggeris. Lepas itu, Adi main badminton atau naik motosikal kecil.


Adi kata masa di sekolah dulu (Sekolah Islam Antarabangsa, Gombak) Adi macam 'kereta Ferrari yang dibawa seperti kereta kancil'. Sebab apa Adi kata macam tu? Otak Adi ni, diibaratnya macam kereta Ferrari. Tetapi dibuatnya macam budak darjah satu. Maka rosaklah otak Adi. Dekat Malaysia ni bukannya ada orang yang boleh repair otak Adi. Perumpamaan tu memang Adi terfikir macam tu jelah. Adi banyak cipta formula matematik, apa lagi formula yang Adi nak cipta selepas ini? 200 lebih (formula matematik) sudah ada sekarang. Insya-Allah kalau ada lagi yang terbaru Adi akan tambah. Apa yang ingin Adi cipta bila besar nanti? Insya-Allah Adi akan cipta dua jenis satelit. Satu satelit angkasa dan dua satelit bumi untuk negara-negara Islam sahaja dengan menggunakan password al-Quran. Satu kita guna alif, dua kita gunakan ba, tiga kita gunakan ta. Kenapa Adi suka cipta formula pada waktu tengah malam? Ilham datang waktu itu. Apa permainan komputer dan video kesukaan Adi? Counter Strike, game tembak-tembak...Ada juga main game Meet the Robinsons.


Bila besar Adi nak jadi apa? Adi nak jadi profesor matematik Islam. Adi tahu Adi terkenal sekarang? Tahu juga. Adi tahu sebab ada orang tegur, baca paper dan tengok TV. Tapi paling banyak orang tegur la. Yang tegur ada tua dan muda. Adi selalu jumpa bermacam-macam orang termasuk menteri dan sultan. Adi tak takut jumpa mereka? Tak sangat. Perasaan biasa saja. Tidak ada apa-apa yang Adi fikirkan. Biasa sahaja. Ketika beri ceramah pada orang ramai masa seminar, Adi tak rasa gementar? Tak gementar. Adi bagi seminar matematik untuk pelajar, guru dan usahawan. Apa yang Adi Putra tahu tentang Sharlinie?Kenapa Adi nak tolong cari Sharlinie? Sebabkan polis minta. Tapi mula-mula Adi baca surat khabar. Adi bagi tahu ayah, Adi hendak tolong. Apa yang Adi nampak masa pergi rumah Sharlinie? Adi nampak (Sharlinie). Tapi tak tahu lokasi betulnya. Adi fikir pasal dia, Adi doa dan tiba-tiba Adi terlintas (dalam hati). Masa tu Sharlinie tak buat apa-apa. Adi tahu di mana Sharlinie sekarang? (Adi diam. Dia terus bermain permainan video) Ketika ke Ulu Yam bersama polis tempoh hari, Adi yakin Sharlinie pernah dibawa ke situ? Tak tahu, tapi memang tempat tu yang terlintas di fikiran Adi.


Bagaimana Adi tahu? Adi ada dengar suara bisikan, nampak sesuatu atau ia tiba-tiba ada dalam hati? Memang terfikir begitu. Perkara itu memang datang dalam fikiran. Macam ada benda juga yang bagi tahu dekat Adi. Semasa memberi ubat pada ibu Sharlinie supaya dia berasa lebih tenang, apa yang Adi baca? Adi dah buat air tu yang dibacakan dengan doa. Doa apa? Maaf, tak boleh Adi bagi tahu.




Adi boleh baca apa yang ada dalam fikiran orang? Boleh juga. Melalui gerak hati Adi. Tengok badan orang tu, Adi boleh baca. Adi boleh terlintas (dalam hati) kalau ada orang datang dengan niat tak baik. Adi tetap salam, jangan bersikap sombong. Cuma Adi berdoa pada Allah agar dia tak buat benda jahat. Adakah letih menjadi seorang genius? Tak letih dengan matematik, cuma letih selalu layan ramai orang. Tapi Adi syukur pada Allah. Apa ucapan untuk ibu dan ayah? Semoga panjang umur. Terima kasih sebab jaga Adi. Sudah berapa banyak Adi hafal al-Quran? Adi baru belajar tahfiz - Adi belajar mengaji dan hafaz sekali. Adi dah hafal lebih kurang 11 hingga 12 ayat dari surah al-Baqarah.


Artikel ini ditulis oleh Sdr. Zamri Rambli

27 May 2008

Allah Melihat Apa Yang Kamu Buat...

APABILA disebut nama Azmil Mustapha , majoriti generasi muda tidak akan dapat mengecam siapa orangnya. Tetapi sebut saja Ali Setan , 'berkat' daripada siaran ulangan filem tersebut di kaca televisyen , semua orang tidak kira yang kecil atau dewasa dari kalangan peminat filem Melayu pasti mengenal pelakon tersohor Malaysia dekad 80-an ini. Azmil, 55 (umur yang dikira beliau mengikut takwim hijri 22 Safar 1375H) adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan 'penghijrahan' daripada kehidupan yang penuh 'lagha' kepada pengabdian diri kepada Allah.

Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem 'Puteri Gunung Ledang'; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama. Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.

Kenapa saudara memilih untuk ke Syria ?
Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria . Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia , saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya.
Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi' dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria .

Sejak bila sebenarnya saudara ke sana ?
Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana .

Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami' Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria . Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu. Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.

Puas hati macam mana?Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga.
Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia "jangan tengok lelaki" bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi.

Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku . Duduk satu meja pun tak ada.
Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria , dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.
Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia , biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah.

Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC.
Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia .
Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England , Afrika Selatan , Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik

Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria ?
Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar.

Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu.
Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak.

Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria .. Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.

Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan.

Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?

Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.

(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Dato' Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred A

Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria .
Di sana , anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila "check" ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.

Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam ( Syria ), bumi para anbiya'. Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat.
Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita.

Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.

Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia ?
Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya " Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam man nak cari kerja?" Saya jawab balik, "Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM". Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah.

Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?

Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria . Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara.?
Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya.

Sekarang kita kongsi raya, kia kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat. Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini.

Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih 'terjajah'. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak. Kalau kita di Malaysia , kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika.

Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.

Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak.
Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa.

Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat. Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam..

Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar.
Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak runtuh. Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.

Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?
Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama'. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.

Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada. Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.

Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?
Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosial yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri.Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.

Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?
Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau dil luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.
Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan.Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yangt berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.

Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.

Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?
Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.

Nasihat kepada rakan artis
Pendek sahaja ; Allah melihat apa yang kamu buat.

Strategi Rasulullah Menghadapi Musuh Islam

Kelahiran Rasulullah SAW, pemimpin agung amat sejagat yang tiada taranya di muka bumi ini telah membawa rahmat kepada alam semesta. Dunia yang gelap kembali bercahaya terang-benderang, kesyirikan dan kekufuran bertukar menjadi ketauhidan dan ketaatan kepada Allah SWT. Lenyapnya keganasan dan kekejaman, tertegaknya keadilan dan seterusnya wujud suasana aman sejahtera serta hidup dalam berkasih sayang.

Sesungguhnya, kelahiran baginda benar-benar telah membawa perubahan dalam berbagai-bagai aspek kehidupan manusia. Itulah Rahmat dan Nikmat dari Allah SWT mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Anbia’, ayat 107, yang bermaksud:

“Dan tiada kami mengutus engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.”

Perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islamiah penuh dengan peristiwa pahit dan getir, menempuh berbagai ancaman dan halangan, menghadapi bermacam-macam kesengsaraan, penderitaan, penindasan dan sebagainya. Namun baginda tetap tabah dan tidak berputus asa dalam menjalankan perintah Allah SWT. Setiap usaha dakwah baginda disertai dengan keazaman, kesabaran dan ketabahan yang akhirnya berjaya menegakkan kebenaran. Justeru, betapa besar pengorbanan baginda rasulullah SAW dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh-musuh Islam.

Rasulullah SAW adalah manusia pilihan, manusia istimewa, maka sudah semestinya baginda dilengkapkan oleh Allah SWT dengan sifat-sifat keutamaan dan budi pekerti yang tinggi dan mulia, dengan ketabahan hati, peribadi yang luhur, jiwa yang besar dan hati yang suci bersih. Justeru, kerana sahsiah yang unggul inilah, keperibadian baginda itu telah dinyatakan dalam al-quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 21, yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik pada hari Akhirat dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.”

Contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW dalam ketaatan dan keimanan kepada Allah SWT adalah amat banyak yang merangkumi seluruh lapangan kehidupan manusia, ini dapat dilihat dalam bidang ibadah, siasah pentadbiran, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan peribadi, baginda juga sebagai pemimpin agama, negara, pemimpin rumah tangga, sebagai suami, bapa, pendidik, pendakwah, pejuang dan sebagainya.

Selain daripada contoh-contoh yang telah disebutkan tadi, baginda adalah merupakan seorang yang bijak mengatur strategi. Ini dapat dilihat di dalam peristiwa hijrah dari Mekkah ke Madinah. Sebaik bermulanya penghijrahan, Rasulullah SAW memang sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun demikian baginda tidak pernah merasa terkecuali dari kewajipan berikhtiar merencanakan strategi hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara strategi penting yang telah diperlihatkan oleh baginda dalam menjadikan rencana penghijrahan ini termasuklah:

Pertama: Perancangan yang rapi dan teliti. Baginda tidak tidur dibiliknya malam itu, tetapi sebaliknya meminta Ali bin Ibni Thalib menggantikannya dengan tujuan untuk mengelirukan musuh yang menyangka baginda masih berada dibiliknya. Baginda juga tidak terus berangkat menuju Madinah yang berada di sebelah Utara selepas keluar dari Makkah, tetapi sebaliknya menghala ke selatan dan berhenti di gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah baginda meneruskan perjalanan ke Madinah ketika gerakan mencari secara besar-besaran oleh pihak Quraisy mudah mulai berundur.

Kedua: Sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh. Maklumat diperolehi menerusi Abdullah Ibni Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk berada di Mekkah pada waktu siang, manakala pada malamnya melaporkan kepada baginda di gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual beli dengan harga yang sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan semakin canggih strategi perisikan yang tujuannya tidak lain hanyalah untuk mendapatkan maklumat berkenaan pihak lawan atau musuh.

Ketiga: Kerahsiaan. Lihat saja bagaimana tidak seorangpun tahu strategi perjalanan hijrah termasuk teman karib baginda, iaitu Abu Bakar hinggalah kesaat perlaksanaannya. Menjadi kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan musnahnya seluruh strategi.

Keempat: Menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau dari orang kafir. Dalam peristiwa hijrah, baginda telah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam iaitu Amir bin Fahirah untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk ke Madinah. Hal ini dilakukan oleh baginda setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan Islam itu tidak akan mengkhianatinya.

Dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW. Perjalanan hijrah dengan segala kepayahan itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berstrategi dan sistematik. Satu cita-cita tidak mungkin dijayakan hanya dengan doa dan berserah semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan strategi yang cukup rapi. Strategi ataupun perencanaan itulah suatu kaedah menentukan matlamat, mengariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.

Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.

Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa hadapan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Perkara ini telah dinukilkan Allah SWT dalam surah Al-Anfal, ayat yang ke 60, yang bermaksud:

“Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu.”

Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam agar membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.

Lebih-lebih lagi disaat umat Islam menghadapi ancaman yang datang bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada acaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi, maka perintah Allah SWT itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan-perancangan yang bernas lagi rapi dalam bidang-bidang lain seperti ilmu, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas. Sehubungan itu, budaya bidang terjun seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.

Mudah-mudahan apa yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW menerusi peristiwa hijrah yang telah melakar sejarah yang cukup besar itu mampu untuk kita mengambil pengajaran daripadanya, dan berupaya menjadi umat yang peka dengan hikmah-hikmah yang terkandung disebalik setiap peristiwa-peristiwa besar serta berguna untuk dijadikan panduan kepada kita umat akhir zaman yang semakin terpinggir ini.`

26 May 2008

Oh Malaysia Ku...

ISLAM DIHINA DI MALAYSIA Baca sama-sama...Dunia akhir zaman semakin menakutkan bilaberkait dgn soal akidah. Nak jadi apa dah ni??Patut laa ada yang kata tak nak ada anak.Bukan takut nak beranak, tapi takutada anak yang terpesong akidah.. baik tak de langsung!!Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria bangkit dalam isu ini denganmembuat kenyataan akhbar bahwa umat Islam wajib isytihar perang terhadap pertubuhan IFC itu dan minta 50 ahli politik Islam yang menurunkansignature sebagai menyokong penubuhan IFC itu bertaubat kepada Allah swtkerana dibimbangi aqidah mereka sudah terbatal.
Datuk Harussani jugaminta kepada semua penceramah, semua ustaz-ustaz yang mengajarkuliah-kuliah dan semua khatib-khatib, supaya jangan lupa cakap benda nidalam kuliah-kuliah dan di atas mimbar-mimbar Jumaat bahwa pertubuhanIFC ini adalah musuh Islam di M`sia.Tuan-tuan tau depa minta apa kat PM?... Depa send memorandum kepada PM meminta 15 perkara berhubung dengan Islam supaya dimasukkan dalam perlembagaan Malaysia . Antaranya:
1) Setiap anak yang baru dilahirkan di Malaysia jangan dikaitkan denganmana-mana agama sehinggalah anak itu berusia 18 tahun - Tu dia tuan-tuan. Ini apa cerita ni? Maknanya, anak-anak kita langsung tidak bolehdididikkan dengan cara Islam. Kita tak boleh bubuh nama Islam katanak-anak. Sampai umur 18 tahun, baru boleh duduk bincang di mahkamah,tanya kat anak kita, 'Hang nak ikut ugama apa?'...Kalau dia kata nakjadi hindu, maka jadi hindulah dia. Kita tak boleh nak buat apa sebab dahdigazetkan dalam Perlembagaan Negara.
2) Di dalam dokumen pengenalan mykad dan passport dihapuskan kolumidentiti agama - maknanya, perkataan 'Islam' yang ada kat mykad kita itu,depaminta di'tiada' kan .
3) Mana-mana orang bukan Islam kalau nak kahwin dengan orang Islam, diatidak perlu masuk Islam.
4) Mana-mana orang Islam yang nak kahwin dengan orang bukan Islam,mestilah dia tukar agama kepada bukan Islam.
5) Sebagaimana kerajaan Malaysia menyalurkan dana kepada masjid-masjid,begitu juga kerajaan Malaysia mesti menyalurkan dana kepada semua rumahibadat orang bukan Islam.
6) Peraturan sekolah yang mengizinkan anak orang Islam menutup aurathendaklah dimansuhkan, kerana ia menghina agama bukan Islam.
7) Hapuskan mahkamah syariah kerana ia juga menghina agama-agama lain -mahkamah syariah kalau takdak, habih la kita tuan-tuan. Walaupun la nibukannya perfect, tapi itulah satu-satunya mahkamah yang defence agamakita. Kalau mahkamah syariah disingkirkan, masalah faraid pusaka, masalahnikah kahwin, cerai talak apa semua tu macamana?...Kalau tak dak mahkamahsyariah, maknanya, perkahwinan tidak akan berjalan di atas akad nikah,sebaliknya, perkahwinan akan dibuat secara berdaftar.
8) Mana-mana orang bukan Islam yang masuk Islam, semua hartanyadikembalikan kepada waris yang tidak beragama Islam.
9) Mana-mana pasangan yang bukan Islam, apabila masuk Islam, maka hakpenjagaan anak tidak boleh diberikan kepada mereka.
10) Sebagaimana program-program di radio dan tv yang menerangkan tentangajaran Islam dalam bahasa ibunda masing-masing, begitu jugaajaran-ajaran lain daripada Islam juga perlu diberi ruang.
11) Sepertimana Quran, hendaklah kerajaan Malaysia turut mencetak bibledalam bahasa Melayu untuk diedarkan di seluruh negara.
12) Apa istimewanya Islam sehingga ditabalkan sebagai agama rasmi diMalaysia ? .....
Ini dia tuan-tuan, Islam diludah depan mata kita sendiri, so mana sensitiviti kita terhadap agama kita sendiri?...Datuk Harussani tegur PM dan 50 ahli politik Islam yang sokong pertubuhan tersebut supaya dibatalkan pertubuhan itu. Tau 50 orang Islam tu kata apa?...Depa kata katMufti Perak, 'Ni lah kalau dah terlalu tua jadi mufti, tak open minded langsung!'...Datuk Harussani balas dalam majalah 'Millenium Muslim', katanya, 'Di atas sikap open-minded rakyat Malaysia yang terlampau lebih, maka inilah hadiahnya!'...
Ini dia kata-kata seorang ulama di Malaysia . Yang lainnya sunyi sepi termasuklah akhbar-akhbar, macam ada benda dalam mulut sampai tak boleh nak buka! Kata Al-Imam Ibn Kathir didalam tafsirnya: 'Sepertimana yang Tartar berhukum dengan berteraskan sistem pemerintahan yang diambil daripada raja mereka Genghiz Khan yang telah mencipta untuk mereka undang-undang Yasak yang merupakan sebuah buku menghimpunkan hukum-hakam yang diambildaripada syariat yang berbagai, iaitu Yahudi, Nasrani, Islam dan lain-lain.
Dalamnya juga banyak hukum-hakam yang diambil daripada fikiran dan hawa nafsunya semata, lalu dijadikan undang-undang yang diikuti oleh anakcucunya. Mereka mendahulukannya melebihi kitab Allah dan SunnahRasulullah, sesiapa yang berbuat demkian maka dia adalah kafir dan wajib diperangi sehingga dia kembali kepada hukum Allah dan Rasulnya dan tidak berhukum selain daripadanya dalam perkara kecil ataupun besar (rujukan tafsiral-Quran al-'Azim oleh al-Imam Ibn Kathir jld. 2, m.s. 70. Cetakan Beirut)