27 May 2008

Strategi Rasulullah Menghadapi Musuh Islam

Kelahiran Rasulullah SAW, pemimpin agung amat sejagat yang tiada taranya di muka bumi ini telah membawa rahmat kepada alam semesta. Dunia yang gelap kembali bercahaya terang-benderang, kesyirikan dan kekufuran bertukar menjadi ketauhidan dan ketaatan kepada Allah SWT. Lenyapnya keganasan dan kekejaman, tertegaknya keadilan dan seterusnya wujud suasana aman sejahtera serta hidup dalam berkasih sayang.

Sesungguhnya, kelahiran baginda benar-benar telah membawa perubahan dalam berbagai-bagai aspek kehidupan manusia. Itulah Rahmat dan Nikmat dari Allah SWT mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Anbia’, ayat 107, yang bermaksud:

“Dan tiada kami mengutus engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.”

Perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islamiah penuh dengan peristiwa pahit dan getir, menempuh berbagai ancaman dan halangan, menghadapi bermacam-macam kesengsaraan, penderitaan, penindasan dan sebagainya. Namun baginda tetap tabah dan tidak berputus asa dalam menjalankan perintah Allah SWT. Setiap usaha dakwah baginda disertai dengan keazaman, kesabaran dan ketabahan yang akhirnya berjaya menegakkan kebenaran. Justeru, betapa besar pengorbanan baginda rasulullah SAW dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh-musuh Islam.

Rasulullah SAW adalah manusia pilihan, manusia istimewa, maka sudah semestinya baginda dilengkapkan oleh Allah SWT dengan sifat-sifat keutamaan dan budi pekerti yang tinggi dan mulia, dengan ketabahan hati, peribadi yang luhur, jiwa yang besar dan hati yang suci bersih. Justeru, kerana sahsiah yang unggul inilah, keperibadian baginda itu telah dinyatakan dalam al-quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 21, yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik pada hari Akhirat dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.”

Contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW dalam ketaatan dan keimanan kepada Allah SWT adalah amat banyak yang merangkumi seluruh lapangan kehidupan manusia, ini dapat dilihat dalam bidang ibadah, siasah pentadbiran, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan peribadi, baginda juga sebagai pemimpin agama, negara, pemimpin rumah tangga, sebagai suami, bapa, pendidik, pendakwah, pejuang dan sebagainya.

Selain daripada contoh-contoh yang telah disebutkan tadi, baginda adalah merupakan seorang yang bijak mengatur strategi. Ini dapat dilihat di dalam peristiwa hijrah dari Mekkah ke Madinah. Sebaik bermulanya penghijrahan, Rasulullah SAW memang sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun demikian baginda tidak pernah merasa terkecuali dari kewajipan berikhtiar merencanakan strategi hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara strategi penting yang telah diperlihatkan oleh baginda dalam menjadikan rencana penghijrahan ini termasuklah:

Pertama: Perancangan yang rapi dan teliti. Baginda tidak tidur dibiliknya malam itu, tetapi sebaliknya meminta Ali bin Ibni Thalib menggantikannya dengan tujuan untuk mengelirukan musuh yang menyangka baginda masih berada dibiliknya. Baginda juga tidak terus berangkat menuju Madinah yang berada di sebelah Utara selepas keluar dari Makkah, tetapi sebaliknya menghala ke selatan dan berhenti di gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah baginda meneruskan perjalanan ke Madinah ketika gerakan mencari secara besar-besaran oleh pihak Quraisy mudah mulai berundur.

Kedua: Sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh. Maklumat diperolehi menerusi Abdullah Ibni Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk berada di Mekkah pada waktu siang, manakala pada malamnya melaporkan kepada baginda di gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual beli dengan harga yang sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan semakin canggih strategi perisikan yang tujuannya tidak lain hanyalah untuk mendapatkan maklumat berkenaan pihak lawan atau musuh.

Ketiga: Kerahsiaan. Lihat saja bagaimana tidak seorangpun tahu strategi perjalanan hijrah termasuk teman karib baginda, iaitu Abu Bakar hinggalah kesaat perlaksanaannya. Menjadi kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan musnahnya seluruh strategi.

Keempat: Menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau dari orang kafir. Dalam peristiwa hijrah, baginda telah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam iaitu Amir bin Fahirah untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk ke Madinah. Hal ini dilakukan oleh baginda setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan Islam itu tidak akan mengkhianatinya.

Dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW. Perjalanan hijrah dengan segala kepayahan itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berstrategi dan sistematik. Satu cita-cita tidak mungkin dijayakan hanya dengan doa dan berserah semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan strategi yang cukup rapi. Strategi ataupun perencanaan itulah suatu kaedah menentukan matlamat, mengariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.

Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.

Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa hadapan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Perkara ini telah dinukilkan Allah SWT dalam surah Al-Anfal, ayat yang ke 60, yang bermaksud:

“Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu.”

Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam agar membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.

Lebih-lebih lagi disaat umat Islam menghadapi ancaman yang datang bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada acaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi, maka perintah Allah SWT itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan-perancangan yang bernas lagi rapi dalam bidang-bidang lain seperti ilmu, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas. Sehubungan itu, budaya bidang terjun seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.

Mudah-mudahan apa yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW menerusi peristiwa hijrah yang telah melakar sejarah yang cukup besar itu mampu untuk kita mengambil pengajaran daripadanya, dan berupaya menjadi umat yang peka dengan hikmah-hikmah yang terkandung disebalik setiap peristiwa-peristiwa besar serta berguna untuk dijadikan panduan kepada kita umat akhir zaman yang semakin terpinggir ini.`

3 comments:

mohad said...
This comment has been removed by the author.
mohad said...

ikutilah sunnah nabi..kita takkan sesat selama...lamanya..teruskan usaha anda yang baik tu..

LokmanHakim said...

Umat akhir zaman ni makin lama makin lupa pada agama.. terutama mereka yang muda remaja (Melayu/Islam)... Lebih suka ikut cara barat...

So... kembali kepada agama, Isya-Allah... Allah akn bantu kita...