29 August 2008

Rejab, Syaaban, Ramadhan...

Segala Puji bagi Allah, Tuhan yang menguasai Hari Pembalasan serta Tuhan yang Maha Kuasa atas tiap sesuatu. Dengan Kebesaran dan Kemuliaan Allah, maka kita sebagai hamba-Nya dianugerahkan kita akan rahmat-Nya dan menjadikan bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan bulan yang dikurniakan ratusan malah ribuan pahala yang dilipat-gandakan yang mana tiada terdapat dalam bulan-bulan Islam yang lain. Sabda Nabi: “Bulan Rejab bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku dan Bulan Ramadhan bulan umatku.” Al-Hadis.

Pada Bulan-bulan ini terbukanya pintu langit dan terbukanya pintu syurga. Dalam erti kata lain, bulan yang diterima oleh Allah doa-doa hamba-Nya, bulan hamba-Nya menempah syurga. Bulan yang digalakkan hambanya banyak istighfar, bulan yang mudah diterima keampunan dan taubat dari hamba-Nya, bulan untuk hamba-Nya memperbanyakkan amal ibadat dan berbakti kepada-Nya – Bulan yang mudah untuk mencapai keredaan-Nya.

Maka beruntunglah sesiapa yang mengetahui dan beramal padanya, dan sungguh rugilah siapa yang tiada mengetahuinya dan tiada pula beramal padaNya. Janganlah sampai kita menghadap Allah nanti dengan kekosongan tangan yang menghampakan, kita pulang dengan kemiskinan amal yang amat mengecewakan, dengan tangisan air mata penyelasan yang langsung tiada membawa erti kepada kita.

Atas tujuan tersebut, maka kita mohon doa kepada Allah yang Maha Kuasa akan kekuatan untuk mengamalkan segala amal yang digalakkan terutama dalam bulan-bulan ini. Mudah-mudahan kita menjadi hambaNya yang sentiasa mentaati perintah Allah dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya kerana Allah dengan ikhlas.

26 August 2008

Sebaik-Baik Teman Adalah Hati



"Bermuafakatlah dengan diri anda sendiri sebagaimana anda bermuafakat dengan kawan tatkala hendak menentukan arah tujuan"

Jika anda tanya diri sendiri anda tentu akan mendapat jawapannya. Tetapi jika anda bertanya secara lebih jujur anda tentu akan mendapat jawapan yang berbeza. Bertanya pada diri sendiri membangkitkan dua jawapan; satu bersumberkan hati kecil dan satu lagi bersumberkan hati besar.

Hati besar akan berkata, "Ah, persetankanlah. Aku bukan baru setahun dua dalam bidang ni. Kalau aku kena pecat pun, aku boleh kerja di mana-mana saja. Setakat kerja di sini apa sangat."

Jika hati kecil yang ditanya, jawapannya mungkin berbeza. "Alamak, kalaulah betul aku dipecat, memang boleh dapat kerja lain, tapi senangkah nak dapat? Umur dah lanjut, siapa nak ambil orang tua bekerja?"

Diri anda adalah sahabat anda yang paling baik. Tatkala semua orang menolak anda, hati kecil anda masih di situ.

Dialah teman tatkala sunyi, tatkala kebinggungan, tatkala gagal mengawal marah, tatkala gembira, ceria mahupun bersedih. Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat yang terbaik, tetapi anda sendiri lebih tahu apakah nasihat yang paling baik. Terbaik bagi orang belum tentu terbaik bagi anda.

Dalam soal ini anda hanya memerlukan teman bicara, dia adalah hati kecil anda sendiri.
Bertanyalah diri sendiri sebab ia sahabat paling setia. Tanyakanlah hati kecil supaya mendapat jawapan yang lebih jujur. Hati besar biasanya penuh dengan ego.

Namun, bukan bermakna hati besar tidak berguna, di situlah letaknya booster motivasi. Tanpa ego seseorang lebih rela hidup daif konon takut riak, sombong dan takbur, padahal pemalas. Ego menolak manusia membuktikan sesuatu melangkaui batas keupayaan dia yang sebenar. Itu baik, itu perlu, itu penting.

Orang lain mungkin boleh menjadi sahabat kepada anda, tetapi ingat, diri anda sendiri adalah sahabat yang lebih memahami. Juru nasihat terbaik diri anda adalah diri anda sendiri, lantaran dia lebih memahami anda, dia lebih mengetahui kelebihan dan kekurangan anda.

Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat terbaik tetapi diri anda sendiri yang mengetahui sama ada nasihat-nasihat itu sebenar-benarnya baik untuk anda. Bukan semua nasihat yang baik itu dapat dilaksanakan, lantaran anda sahaja yang mengetahui apakah ia sesuai, tepat dan mampu anda gemblengkan tenaga ke arahnya.

Nasihat yang paling baik bukan nasihat yang boleh dicatat dalam buku sejarah tetapi nasihat yang boleh merubah anda. Ia mungkin mudah, tetapi cukup berkesan untuk anda. Ia mungkin nasihat-nasihat biasa, tetapi anda mampu melaksanakannya.
Buku bukan dinilai pada ilustrasi kulit tetapi apa yang terkandung di dalamnya. Manusia bukan dinilai pada wajah dan pakaian tetapi apa yang tersimpan di dalam hatinya.
Kebijaksanaan dinilai pada tindakan bukan apa yang berlegar dalam fikiran. Ramai orang menjadi gagal kerana terlalu mengikut rasa hati. Itu berbeza dari suara hati.

Rasa hati kerap dibaur oleh rasa tidak puas, rasa tidak dipeduli, malah rasa sakit, sedangkan suara hati adalah teman berbual terutama tatkala anda rasa kesunyian.
Suara hati selalunya lebih jujur dalam memperkatakan sesuatu. Apabila ia memberikan pandangan biasanya pandangan itu mengambil kira semua kekurangan dan kelebihan anda. Maka ia adalah sebaik-baik teman.

Suara hati adalah terbaik untuk menentukan hala tujuan. Sama ada yang besar atau yang kecil, kedua-duanya tetap teman. Anda boleh mendapatkan pandangan dan pendapat orang lain, namun bermuafakatlah dengan diri sendiri tatkala hendak menentukan arah tujuan.


Artikel Oleh : Shima

11 August 2008

Tafsir Surah Luqman ( 31: 1-34 )


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

1. Alif, Laam, Miim.

2. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

3. Menjadi hidayat petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik

4. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat.

5. Mereka itulah yang tetap mendapat hidayat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.

6. Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

7. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seolah-olah ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.

8. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat;

9. Kekallah mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah (janji yang tetap benar) dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

10. Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang; dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.

11. Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.

12. Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

16. (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

17. Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

18. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

19. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

20. Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.

21. Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Mereka menjawab: (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api Neraka yang marak menjulang?

22. Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.

23. Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

24. Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.

25. Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

26. Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

27. Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

28. (Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada) dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

29. Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti) dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

30. Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah Dialah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

31. Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.

32. Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya) dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.

33. Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

34. Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. ۞